Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, MyDrebar merupakan syarikat e-hailing pertama menjalinkan kerjasama dengan Perkeso.

Menurutnya, memorandum itu ditandatangani bagi menyahut seruan kerajaan yang mewajibkan setiap pemandu teksi dan e-hailing mencarum skim perlindungan bermula 1 Jun 2017.

“Setakat ini Perkeso hanya menerima 9,644 pendaftaran daripada pemandu untuk Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di bawah Akta 789.

“Kami menyasarkan 100,000 pencarum, namun masih terdapat lebih 90 peratus pemandu yang belum mendaftar,” katanya di sini.

Tambah Mohammed Azman, melalui perjanjian ini, pemandu yang berdaftar di bawah MyDrebar tidak perlu berurusan di kaunter bagi urusan pencaruman kerana pembayaran akan dibuat secara automatik.

“Pemandu bakal menerima manfaat kerana kadar bayaran skim ini hanya serendah RM157.20 setahun dengan bayaran bulanan RM13.10,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Zainal Ismail dan Timbalan Presiden MyDrebar, Shahrul Anuar Zamri. - UTUSAN ONLINE