Richard Riot Jaem

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, terdapat tiga fokus utama penjenamaan semula ini iaitu memperkasakan mutu perkhid­matan melalui Skuad Pri­hatin Perkeso, menaik taraf kemudahan fizikal kaunter pelanggan dan mempromosikan skim perlindungan keselamatan dengan lebih meluas.

“Penjenamaan semula ini sa­ngat penting kerana merupakan satu proses strategik ke arah pembinaan semula imej, kredibiliti serta perubahan ke arah pelaksanaan agenda pembangu­nan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Penjenamaan Semula Perkeso di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abu Muttalib dan Ke­tua Eksekutif Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Perkeso menjangka pertambahan 500,000 pekerja baharu yang aktif dapat didaftarkan dan dilindungi oleh agensi itu dan peningkatan tersebut akan menjadikan keseluruhan pekerja aktif berdaftar seramai 6.5 juta orang.

Tambah Richard Riot, melalui Skuad Prihatin Perkeso, kakita­ngan Perkeso akan mencari pe­ker­ja yang layak untuk mendapat bantuan dan tidak hanya me­nunggu mereka membuat tuntutan seperti sekarang.

“Skuad itu juga akan ditubuhkan di setiap negeri bagi memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan dalam usaha transformasi berasaskan ‘prihatin rak­yat’,” jelasnya.

Mengulas mengenai Akta Be­ker­ja Sendiri iaitu akta yang sedang digubal Perkeso yang mampu memberi manfaat kepada pemandu teksi, Richard Riot berkata, golongan tersebut di­jangka boleh mencarum mulai Mei tahun depan.

“Akta ini dijangka dibentangkan di Parlimen bulan Mac depan dan sekiranya berjalan lancar, kita jangka pemandu teksi boleh mula mencarum mulai Mei,” katanya.