Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Mutalib berkata, sehingga Oktober tahun lalu sahaja, sejumlah RM2.41 bilion pampasan selesai dibayar kepada 506,909 penerima menerusi pelbagai skim yang ditawarkan.

Beliau memberitahu, jumlah pampasan Perkeso sentiasa mencatat peningkatan dari tahun ke tahun berikutan pertambahan jumlah kes kemalangan yang dihadapi golongan pekerja.

“Perkeso akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memastikan kebajikan golongan pekerja sentiasa terbela serta mendapat faedah sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penghargaan Perkeso Bersama Media 2017 di Duyong Marina Resort dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; timbalannya, Datin Azlaily Ab. Rahman dan Pengarah Perkeso nege­ri, Nora Yaacob.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, pindaan atau tambahan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dijangka mula dikuatkuasakan 1 Jun ini bagi membolehkan semua pemandu teksi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didaftarkan dengan Perkeso.

Beliau menjelaskan, langkah itu juga akan membolehkan pemandu teksi terbabit membuat caruman bagi mendapat faedah di bawah skim bencana pekerjaan yang disediakan oleh Perkeso.

“Mereka yang bekerja sendiri terutama pemandu teksi perlu daftar atau carum dengan Perkeso dan akta (pindaan) ini akan dibentangkan pada 1 Mac ini dan mula dikuatkuasakan 1 Jun nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,200 kes majikan dalam pelbagai agensi telah didakwa dan dijatuhi hukuman di mahkamah kerana kesalahan gagal mencarum pekerjanya.

“Perkeso secara berterusan melaksanakan aktiviti pengkuatkuasaan dan setiap tahun kita akan lancarkan Ops Kesan de­ngan memberi tempoh pemutihan selama sebulan bagi mengesan majikan yang ingkar dan ga­­gal mencarum.

“Jika gagal daftar dan menca­rum, peringkat awal kita beri kompaun dan sekiranya masih degil, kita akan melaksanakan proses perundangan. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.