Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun berkata, menerusi peruntukan tersebut pelbagai program dan latihan akan diberikan kepada golongan sasar.

“Menyedari keperluan me­ningkatkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, maka kementerian melalui Mara melancarkan program khusus bagi pembangunan usahawan wanita iaitu Program Wanita Inspirasi Ekonomi (Wise) dua minggu lalu.

“Kita menyasarkan lebih 5,000 usahawan wanita akan menerima manfaat daripada peruntukan yang disalurkan ini,” katanya ketika berucap dalam Program Menyantuni Transformasi Luar Bandar di Sports Prima Pandan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar ne­geri, Dzulkefly Ahmad serta Pe­ngerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang.

Rina berkata, kementeriannya sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan wanita dalam program keusahawanan dan perniagaan sekali gus me­nyerlahkan mereka.

Menurutnya, Mara sudah me­lahirkan lebih sejuta usahawan wanita dalam pelbagai sejak 1966 merangkumi penyediaan pelbagai program latihan untuk melahirkan usahawan baharu.

Usaha itu juga katanya, bertujuan memperhebat usahawan sedia ada dan memperkasakan usahawan yang mempunyai potensi untuk melebarkan perniagaan ke luar negara.

Mara juga, katanya, menyediakan bentuk kemudahan pembiayaan perniagaan bermula da­ri­pada RM10,000 hingga maksimum RM5 juta bagi mengembangkan perniagaan.

Antaranya, kata beliau, Skim Pembiayaan Putra, Skim Pembiayaan Mudah Jaya, Skim Pembia­yaan Kontrak Ekspres, Program Latihan Rantaian Nilai Industri dan Program Baron termasuk skim pembiayaan khas untuk wanita iaitu DanaNITA.

“Ini termasuk 7,000 ruang niaga di kawasan industri bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ujarnya.