MOHD. AISHAMUDDIN YAAKOB
MOHD. AISHAMUDDIN

Justeru, Pengerusinya, Mohd. Aishamuddin Yaakob mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan memperkasakan sekolah wawasan sekali gus dapat mempertingkat perpaduan dalam masyarakat daripada tergesa-gesa bersetuju dengan pengiktirafan UEC.

Katanya, sudah tiba masanya dasar pendidikan negara perlu lebih terbuka bagi mendidik masyarakat untuk saling lebih memahami mengenai kehidupan pelbagai kaum di Malaysia.

“Di era Malaysia baru ini, kita inginkan wajah perpaduan yang berbeza, bukannya bangsa yang mementingkan kehendak individu. Bagi pihak GPMS Perlis, kami menentang sekeras – kerasnya dan berharap tiada toleransi terhadap permohonan mengiktiraf UEC,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan kementerian itu tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dengan tidak meneruskan rancangan mengiktiraf UEC selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Aishamuddin berkata, pengiktirafan UEC adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu perkara 152 yang menetapkan Bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan bagi Malaysia.

Kata beliau, pihaknya tidak bersetuju apabila bahasa Mandarin digunakan dalam sistem pembelajaran dan peperiksaan kaum Cina menerusi UEC itu.

“Selain itu, ia juga boleh menjadikan dominasi bangsa menjadi tidak sekata terutamanya terhadap kualiti serta tahap UEC berbanding Dasar Pendidikan Negara yang merangkumi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melayakkan seseorang itu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun ke sektor pekerjaan.

“Bagaimanapun kita yakin, kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri akan terus memacu Malaysia dengan tidak melupakan kepentingan bangsa Melayu,” katanya. - UTUSAN ONLINE