Menurut beliau, pelbagai usaha harus digerakkan oleh setiap negara di Nusantara dalam usaha untuk mencapai hasrat itu dan juga demi kesinambungan bahasa tersebut pada masa hadapan.

“Kelas-kelas bahasa seperti sebelum dan selepas kemerdekaan di negara-negara Nusantara juga amat wajar dipertimbangkan. Semua negara yang bertiangserikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu berusaha gigih berjuang menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu, sekalipun bahasa Inggeris te­lah mendahului dalam hal ini.

“Penggunaan peribahasa, perumpamaan, pepatah-pepatih, bahasa indah, sajak, pantun, seloka dan gurindam harus diambil berat oleh sistem pendidikan masing-masing di samping mengeratkan lagi jaringan antara universiti-universiti di rantau yang serumpun ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semalam, Rais membentangkan kertas kerja sempena Dialog Bahasa Melayu Nusantara: Integrasi Teknologi dan Bahasa anjuran bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) di sini.

Turut menjadi ahli panel dalam majlis dialog itu ialah Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo, Dr. Yabit Alas, Pe­ngarah Pusat Pendidikan Berterusan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, Dr. Yabit Alas manakala Dr. Mohamed Pengiran Damit pula selaku moderator.

Perasmian majlis dialog itu di­sempurnakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam, Pehin Udana Khatib Datuk Paduka Seri Setia Ustaz Awang Badaruddin Othman.

Rais menegaskan, kerjasama serantau dalam memperkasakan bidang bahasa seharusnya diperjuangkan kembali, apatah lagi dengan kemudahan Internet yang meluas pada hari ini menyebabkan ia lebih mudah untuk dipertingkatkan.

“Kerap kedengaran hujah me­ngatakan bahasa Melayu, bahasa Indonesia serta bahasa Inggeris sama-sama dimajukan dan ia memang elok didengar tetapi realitinya tidak begitu.

“Dalam hal ini, kita harus me­ngucapkan tahniah kepada Brunei kerana masih menggunakan tulisan jawi. Nama jalan, nama bangunan, nama taman dan lain-lain masih lagi membudayakan bahasa Melayu dan ditulis dalam tulisan jawi,” ujarnya.

Katanya, banyak tempat dan adat resam di kawasan Nusantara hari ini memperlihatkan keciciran yang berpunca daripada kelemahan pro­ses pembudayaan bahasa Melayu itu sendiri yang kian lemah.

“Memang impian kita supaya bahasa Melayu dan bahasa Indonesia menjadi bahasa serantau ASEAN atau di peringkat antarabangsa sehingga boleh menjadi satu bahasa dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu suatu hari nanti. Yakinilah keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa yang serba mampu dalam dunia hari ini,” katanya.