Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya perlu bertindak segera untuk memastikan hak kaum pribumi itu tidak terus tergadai memandangkan ketika ini tanah rizab Melayu hanya tinggal tidak sampai 30 peratus.

Tegas beliau, Perkasa tidak akan berlembut dalam soal ini te­rutama selepas janji-janji retorik daripada pemimpin kerajaan atau pembangkang yang mendakwa akan mempertahankan tanah adat serta tanah rizab, namun tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Perkasa akan memastikan semua maklumat mengenai tanah adat dan tanah rizab ini diperoleh untuk dipantau, malah kita akan mendesak kerajaan atau sesiapa sa­haja yang telah mengambil ta­nah-tanah ini untuk digantikan dengan yang baharu.

“Kaum pribumi perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Palestin, suatu ketika dulu pemimpin mereka memandang ringan kehadiran Zionis sehinggalah selepas pemimpin tersebut sudah tiada, generasi yang tinggal telah dipijak di bumi sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Khas Tahunan Perkasa Parlimen Ke­ningau dan Pensiangan di Pusat Pelancongan Keningau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presi­den Perkasa, Datuk Masood Zai­nal Abidin; Yang Dipertua Perkasa (YDP) Sabah, Abdul Hamid Harun; Tim­balan YDP Perkasa Sabah, Jeffrus Maimin Rijan; Pengerusi Per­kasa Keningau, Selamat Ismail dan­ Pengerusi Perkasa Pensiangan­, Antakor Rasam.

Dalam program tersebut, Ibrahim turut menerima 600 borang permohonan keahlian Perkasa baharu daripada Parlimen Keningau dan Pensiangan.

Akhbar sebelum ini melaporkan hanya tinggal 3.6 juta hektar atau kira-kira 20 peratus daripada 12.8 juta hektar tanah rizab Me­layu di Semenanjung yang betul-betul dimiliki oleh orang Melayu.

Menurut laporan kajian sebuah universiti awam, baki 9.2 juta hektar tanah itu telah dimiliki oleh kaum lain meskipun status­nya masih lagi sebagai tanah rizab Melayu.

Ibrahim berkata, kaum pribumi ketika ini mungkin boleh berbangga sekiranya mereka mempunyai kekayaan dan memiliki syarikat-syarikat, namun hakikatnya dalam jangka masa panjang, mereka akan dikuasai oleh kaum lain yang berjaya menguasai kesemua tanah rizab dan ta­nah adat.

Sehubungan itu, tegas beliau, peranan biro tersebut bukan sahaja memantau aset berkenaan, sebaliknya mereka akan menyiasat jumlah kesemua tanah yang telah diambil oleh kaum lain untuk dituntut agar dipulangkan atau diganti.

“Saya harap semua ahli Perkasa termasuk di Sabah yang terdiri daripada pelbagai agama dapat bersatu padu dalam memastikan perjuangan pertubuhan ini terlaksana demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.