Pada majlis tersebut, Presiden Perkasa Datuk Dr. Ibrahim Ali turut menyerahkan sumbangan peribadi beliau kepada pelajar cemerlang sebagai tanda penghargaan dan motivasi di atas kejayaan itu.

Ibrahim berkata, sebanyak RM25,000 telah diperuntukkan beliau untuk meraikan kecemerlangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM.

Menurutnya, beliau amat berbangga dengan kecemerlangan ditunjukkan oleh para pelajar STPM dan SPM yang telah meletakkan nama Pasir Mas berada pada kelasnya tersendiri.

“Lebih mengharukan saya apabila ada tiga pelajar STPM Pasir Mas telah dinobatkan sebagai terbaik di peringkat kebangsaan, terbaik luar bandar dan kedudukan keempat terbaik di negara ini.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan sudah tiba masanya, Pasir Mas dijadikan sebagai hub pendidikan cemerlang tegar diatas kejayaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Pemeriksaan SPM dan STPM 2017 Markas Perjuangan Rakyat Perkasa, di sini.

Pengumuman STPM 2017 menyaksikan Norazriena Abdullah dinobatkan sebagai pelajar terbaik Malaysia manakala Nurul Fatin Najiehah luar bandar terbaik dan Abdullah Haimi Haron kedudukan keempat terbaik di negara ini.

Kesemua mereka ini merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja.

Ibrahim memberitahu, seramai 10 pelajar STPM Pasir Mas memperoleh 4.0 dan 192 mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.0 ke atas.

Katanya, untuk SPM pula seorang pelajar dari Mahaad Muhammadi Pasir Mas memperoleh keputusan 12 A dan seramai 11 calon mendapat 11 A.

“Seramai 17 orang memperoleh 10A, manakala 9A (23 orang) dan 8A (51 orang),” ujarnya.- UTUSAN ONLINE