Yang Dipertuanya, Zahari Bakar berkata, pihaknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas ke atas dua pemimpin masyarakat India itu kerana dilihat cuba melibatkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik dalam isu berkenaan.

“Hentikan segera perbuatan sebegini dan mereka yang terlibat daripada memfitnah dan menghasut," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Kangar di sini, kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Sebanyak 35 ahli Perkasa dan dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Persatuan Melayu Negeri Perlis (Pemanis) dan Persatuan Pesara Pegawai dan Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Negeri Perlis hadir.

Sebelum itu, kesemua mereka berarak dari pekarangan Masjid Alwi menuju balai polis tersebut untuk membuat laporan.

Zahari memberitahu, pihaknya kesal kerana tindakan Hindraf yang mahu mengadap Raja Perlis untuk meminta Asri dipecat ekoran puisi menghina penganut Hindu dan mempertahankan Zakir.

“Hormat institusi raja dan bukannya boleh sesuka hati membuat kenyataan,” katanya.

Beliau menambah, Perkasa juga kesal kerana Hindraf dilihat cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam di Perlis.

Jelas beliau, pihaknya juga membuat laporan kerana tidak mahu golongan berkenaan cuba menimbulkan sentimen yang tidak baik dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. - UTUSAN ONLINE