Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajudin Mohd. Salleh berkata, UEC ditolak kerana akan memberi kesan yang amat buruk terhadap perpaduan dan mencabar kepen­tingan serta kedaulatan negara.

“Kerajaan mesti mengambil kira Perlembagaan, undang-undang, kepentingan dan kedaulatan negara dalam membuat sesuatu keputusan.

“Justeru, kerajaan tidak sewajarnya mengiktiraf peperiksaan UEC kerana ia menyentuh kepentingan, kedaulatan negara dan kerajaan boleh ditakrifkan sebagai mencabul kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara,” katanya ketika membacakan resolusi Sidang Meja Bulat Kontroversi Sijil UEC, di sini hari ini.

Sidang meja bulat itu menampilkan empat panel jemputan iaitu Ketua Kluster Pendidikan & Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa; Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong; Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Saleeh Rahamad dan Peguamcara & Peguambela Tetuan Adnan Sharida & Associates, Adnan Seman.

Mengulas lanjut, Sirajudin berkata, UEC tidak boleh diiktiraf kerana kaedah pembelajarannya bertentang dengan Perlembagaan Persekutuan Fasal 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama.

Jelasnya, perkara itu tidak berlaku di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menawarkan peperiksaan UEC kerana menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pengiktirafan kepada UEC boleh diumpamakan sebagai satu pengkhianatan kepada pelajar Cina yang ‘setia’ mengikuti sistem pendidikan menengah seperti mana diperuntukkan oleh kerajaan.

Katanya, pengiktirafan UEC akan menyebabkan peluang pelajar Cina yang ‘setia’ itu untuk memasuki universiti awam bakal terjejas kerana perlu bersaing dengan pelajar lulusan UEC yang dilaporkan sudah mencecah ratusan ribu orang, selain terpaksa berdepan dengan sistem kuota yang mengehadkan lagi peluang mereka.

“Sebenarnya bukan semua ma­syarakat Cina di negara ini memperjuangkan UEC, hanya kelompok kecil sahaja. Bagi saya tuntutan mereka tidak perlu diikuti, kita perlu beri keutamaan kepada mereka yang setia dengan sistem pendidikan negara,” katanya.