Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, pengambilan sijil profesional misalnya dengan industri yang terkenal dengan kepakaran tertentu termasuk di luar negara akan memberi nilai tambah yang cukup besar.

"Apabila kita berada di bidang ini orang lebih memandang kepada tahap kemahiran yang kita miliki berbanding 'kertas' akademik.

"Sijil profesional sangat dipandang tinggi dan ia memerlukan penempatan untuk satu tempoh yang tertentu dalam industri," katanya semasa menyampaikan amanat kepada kakitangan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad.

Mohd. Gazali melakukan lawatan kerja ke ILP Kota Bharu buat pertama kali sejak dilantik ke jawatan itu pada Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd Gazali berkata, setiap institusi TVET seharusnya menyasarkan mempunyai sekurang-kurangnya 10 rakan industri yang boleh mendokong setiap usaha institusi tersebut.

"Engagement perlu sentiasa dilakukan dengan industri, sekiranya tidak menjadi rakan strategik pun tetapi sekurang-kurangnya mereka kenal kita dan boleh hebahkan pencapaian dan kemahiran kita kepada pihak lain," katanya. - UTUSAN ONLINE