Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hal demikian ini penting supaya khalayak bukan Islam memahami bahawa ajaran Islam tidak menghalang kemajuan penganutnya dalam pelbagai bidang ilmu.

Kata beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), umat Islam perlu dikenali di seluruh dunia sebagai umat yang mampu menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti keilmuan, pentadbiran, pengurusan dan sebagainya.

“Jika kita (umat Islam) ingin berdakwah, (memandangkan) kita semua mesti menyebarkan ajaran Islam, kita mesti menunjukkan bahawa sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam juga boleh berjaya bukan sahaja di akhirat, malah di dunia.

“Umat Islam perlu tunjukkan kepada dunia bahawa sebagai umat Islam, kita boleh mentadbir serta boleh menjadi umat yang berjaya dan berilmu,” katanya ketika merasmikan pembukaan Institut Dakwah Antarabangsa Perkim Kuala Lumpur (IDIP-KL) di Balai Islam Perkim di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor. - UTUSAN ONLINE