Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara ini telah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) sewaktu membentuk kerajaan.

Tambah beliau, sehingga kini belum ada satu tindakan pun yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang boleh menjejaskan institusi raja-raja.

Bagaimanapun Anwar mengingatkan, rakyat perlu menerima bahawa perubahan landskap politik pada ketika ini telah membuka ruang untuk semua pihak bersuara dan menyampaikan pendapat mereka.

Menurut Anwar, kebebasan bersuara ini bermakna ruang untuk perbincangan terbuka luas dan membolehkan untuk semua pihak yang berbeza pandangan membetulkan pendapat yang mereka rasakan menyeleweng atau salah.

"Semua orang bebas berbicara dan kita bebas menjawab.

"Oleh sebab itu saya mahu mengangkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai markas berbicara yang kental dan mampu menjawab segala pertikaian yang ditimbulkan dengan berkesan," kata beliau sewaktu sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan pada program Syarahan Negarawan 2018 bertajuk Malaysia Baru Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa anjuran DBP di sini hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan oleh seorang hadirin mengenai pertikaian terhadap kepentingan Melayu dan institusi raja-raja Melayu yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak.

Dalam masa sama Anwar menegaskan, keterbukaan kerajaan  terhadap hak kebebasan bersuara tidak bermakna pemerintah wajib menerima apa sahaja yang dituntut oleh mana-mana pihak tanpa pertimbangan yang wajar.

Kerajaan, kata Anwar, berhak untuk bersikap tegas menolak mana-mana tuntutan ataupun pendapat yang menyeleweng dan salab seperti yang dilontarkan oleh pihak-pihak 'super liberal'.

Menurut beliau, pihak-pihak 'super liberal' ini bersikap seolah-olah negara ini milik mereka sahaja dan menyerang sesiapa yang menegur kelompok ini seperti yang pernah berlaku pada dirinya.

"Kita menolak penindasan oleh majoriti seperti yang berlaku sebelum ini dan juga penindasan oleh minoriti yang berlaku sekarang ini.

"Saudara semua mewakili majoriti dan perlu bangkit menentang (golongan super liberal) serta menyatakan kita juga berhak ke atas negara ini," kata Anwar.-UTUSAN ONLINE