Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, pelaburan penginapan jangka panjang di Tanah Suci mempunyai kerangka positif, apatah lagi selepas melihat kos pengurusan yang semakin meningkat, di mana perlu ada penyelesaiannya.

“Sebab apa kita perlu mendapatkan penginapan jangka panjang (pembinaan kompleks) kerana di Tabung Haji, sama ada kita suka atau tidak, setiap tahun kita akan terus menguruskan jemaah haji ke Tanah Suci ini.

“Berdasarkan itu dan melihat kepada aspek kekangan untuk kos dan bagaimana Tabung Haji perlu menangani, maka jalan penyelesaian adalah mendapatkan tapak bagi dibangunkan kompleks pentadbiran dan penginapan jemaah haji ini,” katanya di Ibu pejabat Tabung Haji bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini hari ini.

Johan berkata demikian kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Kata Johan, secara jangka panjangnya, amat praktikal sekali pihaknya mendapatkan kompleks penginapan itu, umpama sebuah ‘Perkampungan Malaysia’ di Mekah dan Madinah.

“Kedua-dua tapak (Mekah dan Madinah) telah saya lihat dan mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat tempatan (Arab Saudi) di Mekah. Jarak tapak yang dilihat cuma 500 meter dari Masjidilharam dan 150 meter sahaja dari Masjid Nabawi, Madinah,” katanya.
Tambahnya, syarikat di Mekah itu mempunyai rekod dalam projek pembangunan dan Tabung Haji akan mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka.

“Kita tidak perlu untuk membina kompleks atau penginapan lima bintang, cukup untuk tiga bintang dan boleh memuatkan antara 35,000 ke 40,000 jemaah haji pada satu musim.

“Saya jangka pelaburan Tabung Haji ini adalah amat besar dan penting juga untuk melihat kegunaan kompleks itu di luar musim haji,” tegasnya.

Justeru pihak Tabung Haji akan melihat kegunaan kompleks itu secara optimum termasuklah memikirkan kegunaan kepada jemaah umrah pula dan lain-lain di luar musim haji.

Mengenai perancangan tahun hadapan, Johan memberitahu, satu post-mortem terhadap pelaksanaan Musim Haji 1438 Hijrah akan dibuat pada Oktober ini, manakala Muzakarah Haji Kebangsaan akan dilangsungkan pada November akan datang.

“Kursus haji bagi Musim Haji 1439 Hijrah (2018) akan dibuat sebanyak 17 siri dan bermula tahun ini juga iaitu pada bulan Disember,” ujar­nya.

Manakala awal tahun hadapan, satu mesyuarat tertinggi bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi akan diadakan di Jeddah yang akan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi membincangkan perancangan haji dan hal berkaitan kerjasama Malaysia-Arab Saudi dalam urusan haji dan umrah. – UTUSAN