Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, melalui SOP itu mana-mana permohonan perkahwinan di bawah umur perlu melalui beberapa prosedur.

“Melalui SOP tersebut, ibu bapa perlu mendaftarkan permohonan untuk mengahwinkan anak di bawah umur dan pemeriksaan latar belakang keluarga termasuk penilaian psikologi serta kewangan akan dilakukan.

“Selepas itu barulah hakim syarie akan membuat keputusan namun faktor kemiskinan tidak boleh dijadikan alasan untuk meluluskan permohonan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Baru-baru di Tumpat, Kelantan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berumur 44 tahun.

Kes tersebut merupakan kes kedua melibatkan perkahwinan bawah umur di Kelantan yang dilaporkan tahun ini.

Pada Jun lalu, negara digemparkan dengan perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun di Gua Musang dengan seorang peraih getah berusia 41 tahun. - UTUSAN ONLINE-