Perdana Menteri berkata, sehubungan itu, pemergian arwah merupakan satu kehilangan kepada negara khususnya golongan wanita secara keseluruhannya.

“Arwah dilihat sebagai seorang tokoh yang berjiwa besar dan memberi inspirasi kepada ramai wanita, malah beliau menunjukkan ke­pemimpinan yang sangat baik terutamanya dalam bidang perniagaan.

“Peranan arwah dalam konteks politik di Jerlun dan Kedah serta Wanita UMNO sendiri tidak dapat disangkal dan ini merupakan satu kehilangan yang akan dirasai semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Maznah di sini, hari ini.

Najib tiba di kediaman arwah di Villa Maznah, Ukay Height, Ampang dekat sini pada kira-kira pukul 1.10 petang bersama isteri­nya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa kira-kira 20 minit termasuk menemui ahli keluarga arwah.

Terdahulu, ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohammad Noah serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menzia­rahi jenazah.

Maznah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6 petang semalam di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas dimasukkan ke wad berkenaan bagi merawat komplikasi jantung yang dihidapinya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rau­dhatul Sakinah, Taman Selasih di sini selepas solat Asar, hari ini.