Kebimbangan itu timbul selepas bantuan-bantuan tersebut tidak diulas atau diperincikan dalam pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lalu. Belanjawan itu merupakan yang pertama dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam situasi harga komodi­ti sawit dan getah jatuh merudum sehingga memberi kesan kepada pendapatan, kebimbangan mereka ada asasnya.

Kerajaan sekurang-ku­rangnya perlu tampil memberi penjelasan, sama ada segala bentuk bantuan diberikan kepada pekebun, penoreh dan pesawah sebagaimana dilaksanakan semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN) diteruskan.

Perkara ini perlu dita­ngani secara serius. Jangan ketika kerajaan sibuk mahu memperbetulkan ekonomi negara yang didakwa ‘dirosakkan’ rejim terdahulu sehingga mengabaikan kebajikan para pekebun, penoreh serta pesawah.

Jangan dibiarkan golo­ngan ini yang sememangnya bergantung sepenuhnya kepada hasil getah, sawit dan padi daripada terus ‘tertekan’ dengan situasi semasa.

Sekiranya segala bentuk bantuan yang dinikmati golongan itu tidak lagi di­salurkan, kerajaan perlulah mempunyai kaedah strategik lain bagi membantu.

Ambil contoh pengumuman hari ini bahawa Elaun Sara Hidup kepada nelayan diteruskan tetapi menggunakan pendekatan berbeza berbanding secara tunai sebelum ini.

Sekurang-kurangnya golongan nelayan boleh menarik nafas lega bantuan kepada mereka diteruskan. Tetapi bagaimana pula pesawah, pekebun, penoreh?

Bukanlah bermaksud ma­hu ‘memanjakan’ golo­ngan itu dengan subsidi atau bantuan, tetapi ada ketika­nya atas faktor tertentu, mereka memerlukan bantuan kerajaan untuk kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi mencabar serta cuaca tidak menentu hari ini.