Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dokumen itu diperlukan oleh kerajaan untuk digunakan sebagai bukti bahawa wujud perjanjian membabitkan kerajaan terdahulu melibatkan dakwaan penganugerahan projek rel dan saluran paip adalah sebagai ganjaran kepada tawaran China bagi menyelamat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berdepan masalah kewangan.

“Saya rasa dokumen seperti yang dilaporkan itu ada, cuma sama ada ia boleh ditunjukkan kepada kerajaan dan berada di tangan kita sebelum boleh menerima laporan dibuat media berkenaan.

“Selagi itu kita tidak boleh ambil tindakan, perlu dapatkan dokumen itu dahulu dan menggunakannya sebagai bukti bahawa ia (perjanjian) benar berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) keenam di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan meneliti laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa China dianugerahkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) ketika negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebagai ganjaran kepada tawaran China bagi menyelamat 1MDB yang berdepan masalah kewangan.

Laporan WSJ dalam artikel bertajuk ‘China Offered to Bail Out Troubled Malaysian Fund in Return for Deals’ melaporkan beberapa pemimpin kanan China telah menawarkan bantuan untuk menyelamatkan dana pelaburan 1MDB pada tahun 2016, berdasarkan beberapa minit mesyuarat yang dikajinya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menegaskan, Malaysia akan terus memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1MDB walaupun sukar.

Beliau berkata, usaha akan tetap diteruskan walaupun terdapat kira-kira tujuh bilion orang di dunia ini.

“Kita akan buru dia. Dunia ini hanya ada tujuh bilion orang, bukan susah sangat.

“Jika kita boleh cari jarum dalam jerami, begitu juga Jho Low. Dia ibarat jarum dan kita akan menyelongkar jerami itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE