Namun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, kerajaan masih perlu mengambil kira pulangan pelaburan atas pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri tersebut memandangkan terdapat perbezaan dari segi jumlah penduduk dengan Semenanjung Malaysia.

“Kita tidak akan bezakan sama sekali antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung. Dalam Kabinet juga kita mempunyai cukup wakil menteri dari Sabah dan Sarawak. Mereka memberi perhatian kepada keadaan di Sabah dan Sarawak.

“Tapi yang harus kita ingat ialah jumlah penduduk di sana adalah kurang daripada Semenanjung, sebab itu ternampak seolah-olah kita memberi keutamaan kepada penduduk Semenanjung,” katanya ketika menjawab soalan perwakilan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 mengikut kemampuan kerajaan.

Kata beliau, walaupun perjanjian tersebut sudah lama digubal, kerajaan telah menghidupkan semula tuntutan 20 perkara untuk Sabah dan 18 perkara untuk Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

“Semua ini akan dilakukan supaya tidak ada lagi perbezaan layanan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung,” katanya. - UTUSAN ONLINE