Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, projek berimpak tinggi itu akan membantu rakyat menjana ekonomi.

Beliau yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) berkata, pelaksanaan projek tersebut akan meningkatkan status sosioekonomi seterusnya memberi kemudahan kepada rakyat di Pantai Timur agar dapat menjadi sebahagian daripada transformasi negeri-negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Hari ini kita melakar satu sejarah sebagai titik permulaan pembinaan ECRL yang akan meng­hubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Projek ini tidak akan tercapai sekiranya bukan atas usaha dan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika berucap dalam majlis pe­cah tanah projek ECRL yang di­sempurnakan oleh Perdana Menteri di Kotasas di sini hari ini.

Menurut Mohd. Irwan Serigar, sebagai projek infrarakyat, ECRL mengurangkan masa perjalanan dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur.

“Pada awal 1960-an, saya sebagai anak kampung yang dibesarkan di Kelantan hendak ke Kuala Lumpur memakan masa dua hari termasuk bermalam di Kuala Lipis, Pahang. Tetapi selepas ini, perjalanan kita boleh dibuat hanya empat jam.

“Mereka yang tinggal di Kelantan boleh bekerja di Terengganu dan yang menetap di Terengganu bekerja di Kuantan dengan tempoh pergerakan yang singkat," ujarnya.

Beliau memberitahu, landskap pembangunan Pantai Timur akan melalui fasa perubahan drastik melalui pelaksanaan projek itu antaranya kadar kemalangan rendah, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan, pembangunan pusat perniagaan serta pertumbuhan bandar-bandar baharu.