Titah baginda, peristiwa 15 Mac di Christchurch membuktikan elemen kejutan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Peristiwa tersebut membuktikan bahawa terbinanya watak zalim yang melampau akibat kerosakan minda dan kerosakan jiwa.

“Minda dan jiwa yang berprasangka buruk dan dipengaruhi prejudis yang membara akibat salah faham dan salah persepsi melalui indoktrinasi yang menyuntik racun kebencian dan menyemai semangat permusuhan, apatah lagi apabila ia dilakukan atas nama kaum dan agama.

“Peristiwa tersebut hendaklah dijadikan pengajaran penting kepada rakyat di negara ini,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, pemimpin negara yang mengasaskan pembentukan negara merdeka 62 tahun lalu menerima hakikat bahawa kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara bergantung pada kejayaan menyemai semangat kerjasama antara kaum dan memupuksemangat saling menghormati antara agama.

Titah baginda, melalui persefahaman yang terjalin dan sikap saling menghormati yang diamalkan dalam kalangan warga, negara merdeka ini muncul di pentas dunia sebagai sebuah negara yang stabil, aman, makmur dan sejahtera.

Baginda bertitah, rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya, bahasa tetapi hidup secara rukun penuh harmoni.

“Perbuatan oleh mana-mana juga pihak mensensasikan isu kaum, agama dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar hangus sebuah keamanan, perpaduan, kerukunan yang telah dibina oleh generasi terdahulu.

“Demi kestabilan negara, keharmonian hubungan antara kaum dan demi kerukunan hidup antara agama, kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum dan agama hendaklah dielakkan,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE