Menurut Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa, pelaksanaan perintah berkurung tidak perlu dibuat terburu-buru dan mengharapkan kerajaan melakukan kajian secara mendalam terlebih dahulu sebelum mahu bertindak sedemikian.

ZAMBRI MOHD. ISA
ZAMBRI MOHD. ISA 

Jelas beliau, kerajaan juga sewajarnya mencari punca sebenar mengapa gejala sosial semakin berleluasa sebelum me­laksanakan perintah berkurung.

“Menetapkan terus pe­rin­tah berkurung bukan jalan penyelesaian terhadap apa juga masalah sosial yang berlaku kerana situasi setiap negara itu sendiri berbeza. Di Malaysia, kerajaan mungkin perlu memberi tumpuan untuk menjadikan sistem keluarga yang berkualiti terlebih dahulu sebelum laksana pe­rintah berkurung.

“Sekiranya ditetapkan perintah berkurung bermula 12 tengah malam, remaja boleh keluar untuk melakukan apa sahaja gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam. Jika perkara itu berlaku, masalah sosial tidak akan dapat ditangani dengan berkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

JUFITRI JOHA
JUFITRI JOHA 

Beliau mengulas mengenai cadangan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang mempertimbangkan secara serius pelaksanaan perintah berkurung bagi remaja di bawah umur 18 tahun.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha pula tidak sependapat dengan Zambri apabila menyambut baik cadangan itu yang disifatkan sebagai unsur mendidik golongan remaja.

Walaupun mengakui pe­laksanaan itu bukanlah jalan penyelesaian kepada aktiviti sosial, namun Jufitri memberitahu perintah berkurung boleh menjadi satu daripada mekanisme terbaik mencegah gejala negatif dalam kalangan remaja.

“Perintah berkurung ini sama seperti konsep di sekolah berasrama penuh yang mana pelajar boleh menggunakan masa muda mereka untuk memberi tum­puan untuk menuntut ilmu berbanding melakukan perkara yang tidak berfaedah,” ujar beliau.