P. Sivamurugan
P. Sivamurugan

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan penting untuk dilakukan untuk memastikan kurikulum UEC selari dengan polisi Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).

Jelas beliau, matlamat utama DPN ialah untuk melahirkan pelajar yang holistik, menyeluruh dan mempunyai keterangkuman sebagai warga Malaysia selain mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Kata beliau, setakat ini, tiada maklumat terperinci mengenai kurikulum UEC diberikan oleh mana-mana pihak dan ini menimbulkan persoalan serta kebimbangan mengenai martabat Bahasa Malaysia di dalam silibusnya.

Tegas beliau, bahasa kebangsaan perlu diangkat tinggi kerana bahasa itu merupakan faktor utama dalam mewujudkan perpaduan masyarakat.

“Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diangkat tinggi maka UEC tidak selari dengan matlamat DPK dan jika diiktiraf, keputusan itu hanya akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.

“Jika ini terjadi, tidak ada siapa yang akan mendapat keuntungan mahupan kebaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Sivamurugan turut menyarankan kerajaan untuk menjalankan kajian terperinci terhadap kesan dan punca pengiktirafan serta penolakan UEC kepada masyarakat dan negara.

Beliau berpendapat, isu penolakan UEC oleh majoriti masyarakat negara ini bukan disebabkan soal perkauman tetapi lebih kepada untuk memastikan semua soal yang berkaitan dengan kebangsaan dan pembangunan negara diutamakan.

“Jika kajian terperinci tidak dilakukan, dibimbangi usaha untuk membina Malaysia sebagai negara yang maju akan terbantut.

“Juga dibimbangi pengiktirafan kepada UEC akan mendorong lain-lain pihak untuk turut menuntut pengiktiran yang sama kepada persijilan lain seperti A-Level dan sebagainya,” jelas beliau.

Isu pengiktirafan UEC kembali hangat apabila baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pihaknya akan melaksanakan pengambilan lulusan UEC sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka memandangkan ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Malah, isu ini juga dibangkitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon yang berkata, kini DAP tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk tidak mengiktiraf sijil tersebut setelah wakilnya, Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. - UTUSAN ONLINE