Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan yang dibuat pada Rabu lalu itu menunjukkan kerajaan tidak berkompromi dalam soal keselamatan.

Perdana Menteri juga bersetuju bahawa isu keselamatan pusat tahfiz merupakan ‘bom jangka’ yang tidak boleh dipandang ringan.

‘‘Lepas (bomba) beri laporan, yang mana tidak ikut piawaian kita bagi tempoh (untuk) ikut (pia­waian).

‘‘Kalau lepas itu tidak patuh, kita akan tutup sebab ini soal keselamatan anak-anak kita yang tidak boleh dikompromi. Ini bukan soal kuasa negeri atau Persekutuan, ini soal keselamatan, kebajikan, soal nyawa anak-anak kita yang perlu dipertahankan, ini tanggungjawab kita,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1439H/2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Najib memberitahu, tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih menghantui fikirannya sehingga ke hari ini.

Beliau juga tidak percaya bahawa sekumpulan remaja belasan tahun boleh merancang perbuatan jenayah dengan begitu teliti sehingga menyebabkan 21 anak-anak tidak berdosa terkorban bersama dua lagi guru mereka.

‘‘Takkanlah kerana futsal bo­leh lakukan jenayah kepada me­reka yang seakidah. Inilah yang menghantui fikiran saya, apa patut kita lakukan sebagai negara, komuniti, masyarakat, kita harus fikir bersama,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai krisis kemanusiaan di­hadapi etnik Rohingya di Myanmar, Perdana Menteri mengakui terguris hati dengan dakwaan seorang pemimpin pembangkang kononnya beliau tidak membawa isu itu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semasa ke Rumah Putih baru-baru ini.

Sedangkan, kata Najib, Rumah Putih telah mengeluarkan kenya­taan rasmi selepas pertemuan tersebut dan ramai saksi terma­suk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed boleh mengesahkannya.

‘‘Hari ini AS telah teruskan bantuan berjumlah AS$32 juta (RM134.3 juta) untuk membantu etnik Rohingya kerana apa? Malaysia telah bawa isu ini kepada Presiden AS,’’ ujar beliau.