Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, selain tangkapan lima orang awam yang tidak sepatutnya berbuat demikian, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap anggota polis yang terlibat kerana mereka tidak sepatutnya membiarkan orang awam menghalang tugas mereka.

“Tidak wajar bagi orang awam untuk membuat pemeriksaan sedemikian dan bagi anggota polis yang terlibat pula, mereka tidak boleh bertolak ansur dalam isu berkaitan undang-undang, untuk itu anggota yang terlibat juga akan dikenakan tindakan.

“Walaupun bilangan mereka (anggota polis) ketika itu kecil, isu mereka takut berlaku kekecohan tidak timbul kerana mereka boleh mohon bantuan daripada rakan setugas lain kerana ketika itu sebanyak 1,100 anggota bertugas semasa PRK tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 331 anggota dan pegawai Polis Kontinjen Melaka di Dewan Serbaguna Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd. Rahim Jaafar; Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah dan para pegawai kanan dan anggota polis kontinjen negeri.

 

Mohamad Fuzi ditanya tentang insiden yang berlaku pada hari pengundian PRK DUN Rantau 13 April lalu apabila lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau. - UTUSAN ONLINE