Ketua Pegawai Sektor Kese­lamatan Rangkaian Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, ini kerana kewujudan berita palsu semakin berleluasa dan penyebarannya mampu menggugat kestabilan negara.

Lebih-lebih lagi, ujarnya, de­ngan situasi Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin hampir, sudah tentu terdapat pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan agenda tertentu mahu mengambil kesempatan untuk menyebarkan berita palsu.

“Masyarakat perlu faham de­ngan keadaan sekarang yang ma­na maklumat hanya di hujung jari, banyak berita palsu yang ber­legar di media sosial, sistem mesej singkat, blog, laman sesawang dan sebagainya.

“Jadi amat penting untuk kita mempunyai sifat tabayyun atau memeriksa kesahihan sesuatu berita demi memastikan ke­se­la­matan, kesejahteraan dan kemakmuran negara terjamin.

“Sehubungan itu saya menyeru orang ramai periksalah di portal Sebenarnya.my yang merupakan pusat sehenti untuk menyemak sesuatu berita meragukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam Siri Jelajah Sebenarnya.my Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman di sini, baru-baru ini.

Karnival sehari itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang turut menyertai aktiviti senamrobik sebelum melepaskan kira-kira 200 peserta bagi acara Fun Run Sebenarnya.my.

Turut diadakan taklimat me­ngenai portal Sebenarnya.my yang membabitkan pelajar-pelajar SMK Dato’ Sulaiman dan SMK Penghulu Saat.

Acara kemuncak karnival itu ialah Bicara Perdana: Berita Palsu Musuh Negara yang menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Don Daniyal dan Imam Muda Asyraf.

Menurut Fadhlullah Suhaimi, portal Sebenarnya.my yang dilancarkan pada 14 Mac tahun lalu menerima sambutan menggalakkan apabila sehingga kini telah menerima lebih 22 juta layaran daripada 500,000 pelawat unik.

Secara purata jelasnya, portal tersebut yang bertemakan Tidak Pasti Jangan Kongsi menerima kira-kira 70,000 layaran setiap hari.

“Jika terdapat sesuatu beri­ta yang tular dan meragukan, orang ramai boleh menentusahkannya di Sebenarnya.my. Jika berita berkenaan tiada dalam portal tersebut, salurkannya kepada MCMC untuk kita dapatkan pengesahan.

“MCMC akan merujuk berita itu kepada kementerian atau agensi berkaitan dan mereka mempunyai tempoh 24 jam untuk mengesahkan berita berkenaan sebelum kita memuat naik di portal Sebenarnya.my,” ujarnya.

Mengulas mengenai karnival Siri Jelajah Sebenarnya.my, Fadh­lullah Suhaimi berkata, ia bertujuan mendekati masyarakat dengan lebih dekat dalam menyebarluaskan tentang kewujudan serta peranan yang dimainkan portal itu.

Sementara itu, Noraini mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengada-adakan beri­ta palsu atau merekayasa fitnah demi kepentingan peribadi.

Ujarnya, jika terdapat ketidakpuasan hati terutama kepada kerajaan, mereka sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk memberikan pandangan.

“Tidak perlu kita membuat fitnah yang akhirnya membawa kesan buruk kepada negara, sebaliknya guna saluran yang ada untuk memberi pandangan membina.

“Dalam memastikan kestabilan negara ini, tanggungjawab bukan hanya terletak pada kerajaan tetapi juga rakyat secara keseluruhannya,” katanya.