Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ramai yang bertanya soalan kepada beliau mengenai tandas mana golongan LGBT patut masuk.

“Nampaknya kekeliruan gender membawa kepada kekeliruan tandas. Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar.

“Jika ia keluar melalui alat sulit lelaki, silalah ke tandas lelaki. Jika keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, di sini, hari ini.

Aktivis lelaki transgender, Nisha Ayub Jumaat lalu meminta kerajaan mempertimbangkan kewujudan tandas untuk golongan LGBT.

Dalam pertemuannya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa di Kompleks Malaysia itu, Nisha menjawab persoalan mengenai penggunaan tandas awam dan wanita bagi golongan seperti mereka.

"Jika kami tidak diberikan kebenaran untuk menggunakan tandas oleh wanita di luar sana, adakah kerajaan boleh memberikan satu tandas khas?," soalnya.

Mohd. Asri berkata, seandainya air kecil tidak keluar melalui alat sulit lelaki atau wanita, dinasihatkan individu tersebut pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

“Jika doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya (OKU).

“Jika tiada kemampuan menemui pakar, rasanya diri sendiri pun boleh memeriksa alat kemaluan sendiri,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE