Muhyiddin berkata, sebarang bentuk perhimpunan perlu mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, di mana penganjur perlu memberikan notis kepada polis dalam masa 10 hari sebelum himpunan diadakan.

“Tidak kira siapa, mahupun pangkat. Kalau nak adakan itu (perhimpunan)...ada peraturan dalam perhimpunan aman itu...jadi saya tak pasti tentang kedudukan sebenarnya. Pihak mana pun dia tak terkecuali.

“Maknanya dia (penganjur) kena maklumkan kepada pihak polis. Notis maklum pihak polis dalam tempoh 10 hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penganjuran Perhimpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini seperti yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Mujahid sebelum ini dilaporkan berkata, perhimpunan aman solidariti demi kedamaian dan menolak kebencian dirancang diadakan Sabtu ini dengan perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo pada pukul 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Beliau berkata, perhimpunan itu bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak fahaman kebencian serta sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu.

Mujahid berkata, mereka yang akan turun menyertai perhimpunan itu haruslah memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo parti politik dan beliau sudah memanjangkan jemputan perhimpunan itu kepada menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, selain barisan pembangkang.-UTUSAN ONLINE