Berlangsung di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa dekat sini, acara yang julung kali diadakan itu bakal menghimpunkan seluruh masyarakat etnik Melayu Bugis di negara ini termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Persekutuan Melayu Bugis SeMalaysia merangkap pengerusi program berkenaan, Raja Kamaruddin Raja Abd. Wahid berkata, matlamat utama penganjuran program tersebut adalah untuk memperkenalkan budaya dan keakraban masyarakat Melayu berketurunan Bugis di negara ini.

"Perhimpunan ini telah dirancang lama sebelum berlakunya penghinaan terhadap masyarakat berketurunan Bugis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun lalu.

"Oleh itu, kami bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bugis dan Melayu dari seluruh negara, mengambil inisiatif menganjurkan program ini bagi memberitahu kepada rakyat terutamanya generasi muda tentang kehebatan masyarakat Melayu Bugis yang mempunyai peranan besar dalam perkembangan politik, ekonomi dan sosiobudaya di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program Himpunan @ Karnival Solidariti Rakyat Melayu Bugis 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE