Penyelaras Program Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Zuraini Ramli berkata, sebarang pelanggaran penggunaan bahasa Melayu dalam konteks rasmi oleh kerajaan yang tidak disusuli dengan bantahan, dikhuatiri akan menyebabkan masyarakat terdorong untuk melakukan pelanggaran yang sama sekali gus mencemar kedudukan bahasa Melayu.

“Perhimpunan secara aman sebegini perlu dilakukan supaya masyarakat Malaysia sedar bahawa isu ini merupakan isu yang besar dan penting dalam memelihara status serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia.

“Jika pelanggaran penggunaan bahasa Melayu dalam konteks rasmi diteruskan oleh pemerintah, dikhuatiri bahasa Melayu akan turut diperlekeh oleh golongan yang diperintah, maka pemerintah merupakan golongan paling wajib memartabatkan bahasa Me­layu dalam urusan rasmi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Perhimpunan anjuran Ga­bungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) diketuai Penasihat MPM yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar itu berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya selepas solat Jumaat, semalam.

Peserta perhimpunan kemudiannya berarak ke ba­ngunan Kementerian Kewangan bagi menyerahkan memorandum Mendaulatkan Bahasa Melayu Dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia kepada Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad yang mewakili Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Zuraini berkata, semangat cintakan bahasa kebangsaan perlu ditanam dalam diri rakyat Malaysia sejak prasekolah lagi supaya kedudukannya dapat terus dipelihara.

“Antara cadangan yang boleh saya kemukakan, kita perlu ga­lakkan masyarakat menggunakan bahasa yang betul dan sopan dalam media sosial sebagai tanda kita menghormati bahasa kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persa­tuan Patriot Malaysia, Jamalee Bashah berpandangan, perhimpunan yang diadakan bukan sekadar reaksi terhadap kontroversi kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, sebaliknya manifestasi kepada desakan dan serangan yang bertahun-tahun lamanya terhadap bahasa Melayu.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita ada kewajipan dan tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi secara khususnya dan urusan harian secara umumnya tetapi tidak bermakna kita harus mengetepikan bahasa ibunda bangsa dan etnik lain kerana ia juga wajar diraikan, namun perlu kena pada tempat, acara dan masa,” katanya.