Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan yakin perhimpunan akan diadakan secara aman.

Beliau berkata, bagaimanapun perhimpunan yang dijangka berlangsung di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja itu hanya dibenarkan selama empat jam bermula dari pukul 2 hingga 6 petang.

“Perjumpaan ini adalah satu perhimpunan kesyukuran jadi kami berpandangan lokasi itu akan memberikan lebih ruang kepada penganjuran.

“DBKL akan menutup Jalan Raja berhadapan bangunan Sultan Abdul Samad sepanjang perhimpunan tersebut, “ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Maz­lan Lazim.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 23 November lalu berkata kerajaan bersetuju tidak meratifikasikan ICERD bagi mempertahankan Perlembangaan Persekutuan se­perti yang termaktub kontrak sosial.

Berikutan kenyataan itu, Ke­tua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini diteruskan.

Nor Hisham berkata, pihaknya menerima permohonan penganjuran perhimpunan berkenaan daripada Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat); Persatuan Bekas Ang­katan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat) dan Ummah pada 27 November lalu.

“Saya harap penganjuran ini dapat dilakukan secara baik dan yakin PDRM akan memantau perhimpunan mengikut Prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.