Itulah pendirian Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya selaku penganjur perhimpunan kerana agenda itu dapat menonjolkan kesepakatan serta suara orang Melayu dan Islam yang selama ini dikatakan berpecah-belah.

Berbanding perancangan asal untuk menzahirkan bantahan terhadap ICERD, beliau ketika dihubungi memberitahu, himpunan tersebut akan bertukar sebagai tanda kesyukuran.

“Ya, (perhimpunan) akan diteruskan bagi menzahirkan kesyukuran kejayaan suara rakyat sehingga kerajaan menolak ICERD. Masa dan lokasi kekal iaitu di Dataran Merdeka dari pukul 2 hingga 6 petang,” kata beliau.

Berkenaan dengan kebenaran untuk menganjurkan perhimpunan itu, Aminuddin memberitahu, pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dan akan bertemu dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed menyifatkan isu ICERD merupakan satu hikmah untuk melihat sejauh mana orang Melayu dapat bersatu hati.

Justeru, tegasnya, ratusan ribu penyokong Pas akan tetap menggegarkan perhimpunan membantah ICERD di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini.

“Pas masih tidak yakin de­ngan keputusan kerajaan yang difahamkan hanya menangguhkan pengiktirafan konvensyen tersebut, bukan mengambil pen­dirian membatalkannya,” katanya.