Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, sehingga kini jabatan itu mempunyai seramai 16 doktor veterinar yang dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Katanya, semua doktor berkenaan hanya biasa mengendalikan haiwan ternakan dan apabila dipinjamkan kepada Perhilitan, mereka terpaksa dihantar menjalani kursus dan latihan termasuk ke luar negara bagi meningkatkan kefahaman mereka berkaitan hidupan liar.

“Kepakaran yang diperoleh ini menjadi tidak lagi relevan apabila mereka dipanggil balik oleh MOA dan ditempatkan semula untuk menjaga haiwan ternakan.

“Kita telah beberapa kali membuat permohonan kepada JPA untuk mendapatkan perjawatan secara tetap tetapi ditolak. Bagi saya, mereka tidak faham apa itu ekologi, apa itu perubahan iklim dan kepentingannya terhadap alam sekitar, sebab itu ditolak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Biodiversiti 2017 di sini hari ini.

Beliau yang melahirkan kekesalannya terhadap penolakan itu berkata, beberapa cadangan balas daripada pihaknya turut ditolak oleh jabatan berkenaan.

Tambahnya, pihaknya sedia berbincang dengan JPA terhadap isu-isu yang ditimbulkan dalam alasan penolakan itu seperti kenaikan pangkat bagi perjawatan tersebut.

“Kita boleh bincang kerana negara ini telah mempunyai dasar mengenai ekologi termasuk pemuliharaan hidupan liar tetapi tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama JPA.

“Kita mesti ingat bahawa hidupan liar mempunyai peranan masing-masing dalam mengekalkan keseimbangan ekologi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE