Pengerusi Pembela Bangsa Felda (Pembela), Anuar Abd. Manap berkata, pelbagai skim bantuan dan latihan sama pernah diberikan Felda sebelum ini kepada anak-anak peneroka termasuk tumpuan khusus kepada aspek pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Katanya, antara skim latihan paling terkenal yang pernah dilaksanakan dahulu adalah penyelenggaraan pesawat dengan peruntukan besar diberikan kepada setiap pelatih.

“Dulu kalau tidak silap saya, Felda pernah membelanjakan sebanyak RM150,000 seorang untuk kursus tersebut. Apabila mereka sudah habis belajar tiada pula tawaran tempat untuk bekerja, habis begitu sahaja.

“Malah, lebih membimbangkan sekiranya mereka diberi pinjaman dan bukannya biasiswa yang sudah tentu menjadi beban perlu ditanggung selepas tamat belajar. Skim itu boleh dilaksanakan, namun kena kaji masalah yang pernah berlaku sebelum ini. Jangan kerana hendak popular dan demi kantung politik, maka umum sahaja sesuka hati.

“Kita tidak mahu isu sama berulang yang akhirnya menjadi masalah kepada anak-anak peneroka. Oleh itu, perlaksa­naannya perlu dipantau dari segi tempat belajar, kualiti serta peluang pekerjaan. Jangan nanti graduan seramai 1,000 orang tetapi yang dapat kerja hanya 100 orang sahaja,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Anuar mengulas mengenai kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sudah mengadakan perbincangan dengan Kha­zanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad dalam mencari skim baharu untuk membantu pendidikan anak peneroka.