Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Prof. Dr. Mohd. Taib Dora berkata, walaupun pelanjutan umur persaraan itu hanya dicadangkan kepada mereka yang melepasi tahap kesihatan dan kepakaran tertentu, namun kerajaan perlu mengambil kira kadar pengangguran yang dilihat semakin serius.

Malah, katanya, dengan jumlah siswazah baharu lebih 70,000 setahun, cadangan tersebut kurang relevan dan sekiranya ingin dilaksana, kerajaan perlu mencari jalan terbaik bagi membuka peluang yang sama adil kepada golongan belia yang baru menamatkan pengajian.

“Saya beranggapan cadangan tersebut bukanlah perkara yang diwajibkan kerana perlu mengambil kira tahap kesihatan individu tersebut, namun bagi saya 60 tahun itu sudah cukup baik bagi seseorang untuk bersara.

“Kadar pengangguran juga perlu dilihat kerana kita melahirkan lebih 70,000 siswazah setahun dan saya khuatir, cadangan tersebut menutup ruang bagi golongan belia untuk memohon pekerjaan di sektor awam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut dengan membandingkan dasar negara luar seperti Singapura, Thailand , Sri Lanka, Eropah dan Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan mencecah 65 tahun.

Malah pada masa yang sama, Presidennya, Datuk Azih Muda menepis dakwaan cadangan tersebut akan menutup peluang kepada golongan muda yang ingin memasuki sektor awam.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan sepatutnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia berbanding melanjutkan umur persaraan kepada 62 tahun.

Namun, katanya, cadangan tersebut mungkin boleh dipraktikkan di sektor tertentu yang tidak memerlukan daya ketahanan dan penggunaan tenaga yang banyak seperti pendidikan.

“Umur 60 tahun itu sudah memadai. Cadangan melanjutkan umur persaraan ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak adil dalam diri golongan muda kerana seolah-olah menutup peluang yang sama rata kepada mereka.

“Pandangan pelbagai pihak perlu diambil kira dan cadangan ini harus dikaji serta dinilai dengan sehalus mungkin bagi mengelak pertambahan kadar pengangguran yang kritikal,” katanya.