Daripada jumlah tersebut, seramai 104 penuntut Malaysia masih berada di Khartoum manakala selebihnya sudah kembali ke Malaysia, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.


"Mereka juga sudah boleh menjalankan kehidupan harian seperti biasa," kata kementerian itu, yang memaklumkan Education Malaysia (EM) di Mesir menghubungi Kedutaan Malaysia di Khartoum bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan keadaan penuntut Malaysia berikutan pergolakan di Sudan.

Menurut KPM, pergolakan yang berlaku di sekitar Khartoum membabitkan kawasan Araba, yang jaraknya 10 hingga 15 kilometer dari penempatan penuntut Malaysia.


Menurut kenyataan KPM itu, kawasan lain yang berlaku rusuhan adalah Atbara dan Gedarif, yang jaraknya adalah 350 kilometer dari Khartoum dan keadaan di kawasan tersebut pada masa sekarang adalah terkawal.


Menurut KPM, universiti-universiti di Sudan ditutup sejak dua minggu lalu dan akan dibuka semula setelah mendapat pemakluman daripada pihak berkuasa Sudan.


"Kedutaan Malaysia di Sudan terus mengambil langkah berjaga-jaga dan menasihatkan penuntut Malaysia agar kembali ke tanah air sewaktu universiti-universiti ditutup," katanya.


Semalam, Kedutaan Malaysia di Sudan telah mengeluarkan nasihat kepada semua pelajar Malaysia agar tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan politik serta menjauhkan diri dari tempat-tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan mereka seperti dataran dan kawasan pasar.


Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin pula dilaporkan berkata ATM bersedia menerbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sudan bagi membawa pulang penuntut Malaysia yang terkandas berikutan pergolakan di negara itu. - BERNAMA