Siti Rahmah
Siti Rahmah

Namun, mereka yang membesar ketika negara dalam proses mencapai kemerdekaan negara dan pada fasa awal pembebasan daripada penjajahan pasti meng­anggap beliau sebagai seorang tokoh yang hebat.

Siti Rahmah digambarkan sebagai seorang srikandi negara yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta dan wang demi memastikan anak bangsa­nya tidak terus dijajah.

Biarpun tidak berperang dan mengangkat senjata, Siti Rahmah layak diberi penghormatan sebagai seorang wira kerana sumbangannya yang cukup besar dalam usaha menentang gagasan Malayan Union serta menuntut kemerdekaan.

Perjuangannya dalam gerakan menuntut kemerdekaan bermula sejak 1945 melalui pembabitannya dalam Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan UMNO.

Tiada siapa yang dapat melupakan bagaimana Siti Rahmah sanggup memberi gelang emas hadiah perkahwinannya kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi menampung perbelanjaan yang diperlukan delegasi menuntut kemerdekaan untuk berunding dengan kerajaan Bri­tish di London, United Kingdom (UK).

Bukan itu sahaja, Siti Rahmah yang semangat nasionalismenya terkesan daripada pengaruh seorang guru dari Indonesia, turut menggesa orang ramai baik lelaki atau wanita supaya turut memberi sumbangan kepada Tunku Abdul Rahman.

Sumbangan Siti Rahmah itu amat besar nilainya dalam membantu negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Siti Rahmah merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan bagi mewakili kawasan Te­rentang dan beliau yang bertan­ding atas tiket Perikatan berjaya mempertahankan kerusi tersebut mulai 1959 hingga 1969.

Sepanjang perjuangannya, Siti Rahmah banyak mendapat pengiktirafan termasuk Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan, Tokoh Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tokoh Jubli Emas Perkim, Anugerah Pengkisahan Sejarah ‘Wira Tak Dicanang’ dan Srikandi Negara selain darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara dan Johan Setia Mahkota.

Seluruh negara turut bersedih apabila mengetahui Siti Rahmah yang hampir mencecah usia 91 tahun pulang ke rahmatullah hari ini dan Allahyarham yang difahamkan meninggal dunia kerana sakit tua menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya di Kelana Jaya, Selangor.

Sudah tentu pemergian Allah­yarham merupakan kehilang­an besar kepada negara, namun perjuangan serta pengorbanannya dalam membantu negara menuntut kemerdekaan pasti dikenang sampai bila-bila. Al-Fatihah.