Bekas pensyarah kanan Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia itu meninggal dunia 2.30 pagi tadi selepas hampir tujuh bulan bertarung kanser limfoma.

Mohamad meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak, dua daripadanya sedang menunaikan fardu haji di Tanah Suci Makkah.

Menurut Isteri Allahyarham, Jamaliah binti Sulaiman, 62, jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara selepas solat zohor.

Lebih 200 orang hadir, termasuk pengamal media, pakar akademik, penyelidik ekonomi dan bekas pelajar.

Mohamad sinonim dengan suara lantang perjuangkan hak-hak pengamal media dan menyumbang secara berterusan bagi industri penerbitan dan penyelidikan terutama dalam bidang pengiklanan.

Beliau menegaskan bahawa Dasar Periklanan Negara dan Perbadanan Kemajuan Iklan Negara (PKIN) mesti segera diwujudkan bagi memastikan struktur industri iklan negara tidak terus berat sebelah.

Selain kerap menerbitkan buku ilmiah, beliau sering kali muncul di kaca televisyen menyumbang idea-idea dan pendapat berhubung pengiklanan.

Menurut Prof Jamilah Ahmad, bekas dekan Pusat Pengajian Komunikasi sewaktu Mohamad berkhidmat di USM, beliau antara ilmuan di pusat pengajian yang sangat disenangi dan hormati dalam kalangan pelajar program Sarjana Integrated Marketing Communicating (IMC) sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan pengiklanan.

"Kehilangan beliau merupakan kehilangan besar ilmuan dalam bidang pengiklanan," katanya. - BERNAMA