Aliff Syukri yang baru sahaja pulang dari Indonesia pukul 11 malam tadi berkata, beliau akan menyelesaikan semuanya dengan cara baik dan akan mematuhi segala peraturan dalam undang-undang negara.

“Saya akui ini adalah salah saya, esok saya akan ke JPJ untuk dapatkan penjelasan dan selesaikan semua perkara dengan baik.

“Saya tak mahu bergaduh dengan mana-mana pihak termasuk JPJ dan akan ikut semua undang-undang yang digariskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, kereta mewah miliknya disita pihak JPJ dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di Bangsar.

Kereta tersebut disewa oleh seorang pelajar warganegara tempatan yang pulang bercuti daripada pengajiannya di Australia.

Dalam operasi ter­se­but, kereta mewah berkenaan ditahan atas dakwaan menggunakan nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi serta melanggar Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menipu kawasan pengisytiharan Pendaftaran dan Pe­lesenan Kenderaan Motor kerana cukai jalan kenderaan tersebut didaftarkan di Sarawak.

Mengulas lanjut, Aliff Syukri berkata, beliau sebenarnya tidak mengetahui segala dokumen berkaitan kereta mewahnya kerana perkara tersebut diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengurusannya.

“Sekiranya saya tahu, saya akan bayar semua perkara yang diperlukan bagi mengelak sebarang masalah timbul di kemudian hari. Apa pun saya mengaku ia adalah salah dan memohon maaf kepada semua pihak,” katanya.