LANGKAWI 19 Ogos - Dua projek perumahan rakyat (PPR) dibangunkan di Ulu Melaka dan pekan Kuah di sini membabitkan 1,000 unit rumah dengan peruntukan RM247 juta.

Projek berkenaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 20,000 penduduk.

Berucap pada majlis tersebut, Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional akan memastikan pulau peranginan negara itu maju bukan sahaja untuk kemudahan pelancong tetapi penduduk di kawasan ini.

"Projek ini dijangka siap pada 2019
membabitkan pembinaan dua blok rumah sembilan tingkat di Ulu Melaka dan tiga blok rumah 11 tingkat di pekan Kuah.

"Apabila projek perumahan  ini siap  kita akan laksanakan proses sewa beli bagi menyenangkan orang Langkawi memiliki rumah ini," katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan projek menaiktaraf jeti nelayan di Pantai Chenang dengan peruntukan RM9.16 juta.

Berucap lanjut, Najib berkata, pelbagai projek yang dilaksanakan itu membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan Langkawi.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar Wilayah; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - UTUSAN ONLINE