Sorotan menarik persidangan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) bermula hari ini ini sehingga 19 Januari adalah perbincangan panel peringkat tinggi melibatkan Perdana Menteri Malaysia itu selain presiden negara-negara Burkina Faso, Ivory Coast, Kenya dan Rwanda.

Dr. Mahathir diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan dari luar Afrika yang diundang untuk menghadiri ICEA-III, yang memaparkan tema utama ‘Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman’.

Beliau juga diadual untuk berkongsi buah fikiran pada segmen kedua di bawah tajuk Menggalakkan Sektor Swasta Menjadi Enjin Penggerak Kemunculan manakala segmen ketiga akan menyentuh aspek keterangkuman sebagai jaminan kepada kemapanan dinamik kemunculan.

Presiden Senegal Macky Sall dijadual menyertai segmen ketiga itu bersama-sama Dr Mahathir.

Segmen keempat dan terakhir pula akan menyaksikan Dr. Mahathir berkongsi pandangan mengenai perkongsian inovatif antara sektor wasta dan awam mengenai kemunculan.

ICEA-III menyasarkan untuk memperhalusi lagi perbahasan mengenai ketahanan pertumbuhan dan keterangkuman dalam pelan kemunculan Afrika menerusi, khususnya peletakan pada kedudukan lebih baik perkongsian antara sektor swasta dan kerajaan.

Dalam kenyataannya terdahulu, Kementerian Luar berkata, persidangan ini memberi peluang kepada Dr. Mahathir untuk mempamerkan kejayaan perkongsian antara sektor awam dan swasta di Malaysia.

Perdana Menteri juga dijangka akan berkongsi idea dan wawasan Malaysia mengenai perkongsian ekonomi dan perdagangan antara negara-negara di Asia Tenggara dengan negara-negara Afrika yang muncul.

Dalam lawatan dua hari itu, Dr Mahathir diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali.


Mereka dijangka berlepas meninggalkan Senegal lewat hari ini. – BERNAMA