Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ketika perarakan berlangsung, beberapa individu membawa sebuah dulang yang berisikan bendera hijau yang ditabur dengan bunga ros dan melati putih.

Orang ramai yang menyertai perarakan tersebut berjalan sambil berselawat menuju ke sebuah surau yang terletak di sebelah kubur Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail.

Setibanya di surau ber­kenaan, beberapa dulang lain yang berisikan buah-buahan, coklat dan gula-gula turut dibawa masuk untuk diletakkan di kawasan tengah sambil diiringi bacaan kitab, berselawat dan tahlil.

Apabila tamatnya program pada malam itu, bahan-bahan yang terdapat di atas dulang telah dibungkus untuk diagih kepada orang ramai yang hadir ke upacara berkenaan.

Perbuatan tersebut dikhua­tiri menjadi sebagai satu aktiviti pemujaan yang secara jelas ditolak dalam ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipraktikkan oleh masyarakat di sini.

Penjelasan perlu diberikan oleh pihak yang bertauliah dalam hal agama berkaitan isu ini kerana bimbang sekiranya perbuatan tersebut boleh men­jurus kepada pemesongan akidah.

Yang pasti, amalan tersebut tidak diajar di bangku sekolah mahupun dipromosikan oleh mana-mana jabatan atau agensi berkaitan agama Islam dalam negara sehingga hari ini.