SALAHUDDIN AYUB
SALAHUDDIN AYUB

Beliau berkata, perbincangan yang melibatkan pihak tertinggi kementeriannya dan UPM itu berkisar mengenai bagaimana UPM yang ada pada hari ini dapat terus memainkan peranan dalam memperkasakan sektor pertanian negara.

UPM yang dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia pada awal penubuhannya berfungsi sebagai sebuah institut pendidikan yang menekankan pertanian sebagai teras.



"Dalam memacu negara ke era pertanian moden, peranan UPM pastinya menjadi faktor paling penting bagi merealisasikan visi dan misi kementerian mencapai matlamatnya," kata Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini.



Semalam, Salahuddin dilaporkan berkata Malaysia memerlukan sebuah universiti yang pengajaran dan pembelajarannya berfokus kepada bidang pertanian bagi melahirkan pakar dan graduan yang diperlukan sektor berkenaan pada masa hadapan.



Menurutnya, ia akan melibatkan pertimbangan sama ada perlu menubuhkan sebuah universiti pertanian atau mengembalikan fungsi UPM seperti awal penubuhannya yang menekankan pertanian sebagai teras.

Salahuddin berkata universiti berkenaan akan berperanan seperti Universiti Chulalongkorn dan Universiti Chiangmai di Thailand yang fungsi utamanya meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan teknologi baharu dalam bidang pertanian kepada graduan dan petani. - BERNAMA