SHAH ALAM 24 Jan. – Perbicaraan kes bunuh lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berlangsung dalam ‘kegelapan’ sejak pukul 10 pagi hingga 4.30 petang.
Ini berikutan penayangan semula kira-kira lebih 70 klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut di mahkamah bagi tujuan pengesahan oleh saksi pendakwaan ke-31, Syed Fakhruzaman Tuan Mohd. Mokhtar, 45, yang merupakan penyelia keselamatan CCTV [email protected] di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang.
Terdahulu, Syed Fakhruzaman memberitahu Pegawai Penyiasat Kanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz telah berjumpa dengannya dan meminta untuk menyemak rakaman CCTV yang berkaitan dengan kes yang sedang disiasat olehnya.
Semakan terhadap rakaman dilakukan di bilik CCTV, tingkat satu, lapangan terbang itu, tambahnya.
Semakan dan penyalinan rakaman CCTV ke dalam 10 keping cakera video digital (DVD) itu dilakukan secara berperingkat-peringkat di antara 13 hingga 21 Februari 2017.
Saksi itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali pada perbicaraan terhadap warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, yang didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2 kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari tahun lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Perbicaraan masuk hari ke-26 hari ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin akan diteruskan dengan soal balas oleh peguam-peguam bela kedua-dua tertuduh pada Isnin ini.