Justeru, katanya masyarakat perlu menyingkirkan sebarang rasa negatif yang wujud daripada perbezaan itu demi keharmonian negara.

"Kita mungkin berbeza pendapat tetapi kita mesti bersatu untuk memastikan kestabilan negara.

"Apapun perbezaan kita sama ada fahaman politik, agama dan kaum... tetapi ini adalah negara kita Malaysia dan kita mestilah bersatu dalam memastikan kesatuan bangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Program yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut dihadiri isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya, di sini seawal 7 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Antara aktiviti yang diadakan adalah Larian Bendera Negaraku, senamrobik dan Konsert Ekspresi Negaraku.

Menurut Salleh, seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan negara.

"Saya juga ingin tegaskan semua ini harus dipacu bersama-sama. Kejayaan kita sekarang adalah milik 31 juta rakyat negara ini," katanya.

Salleh turut menyeru rakyat negara ini agar menjadi rakyat yang aktif bagi memacu kejayaan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita tidak harus menjadi 'penumpang' dalam negara, sebaliknya menjadi peserta yang aktif dalam menentukan hala tuju negara," katanya.

Mengenai pemilihan lokasi program, Salleh berkata Putrajaya dipilih sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang selama ini memainkan peranan penting menjayakan aspirasi kerajaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa program tersebut akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi membolehkan rakyat Malaysia meluahkan rasa cintakan negara terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pelancaran Ekspresi Negaraku akan menguatkan lagi semangat penjawat awam untuk menyampaikan janji-janji kerajaan kepada rakyat.

"Penjawat awam sentiasa berkhidmat untuk negara. Semangat patriotik dan jati diri adalah amat tinggi dalam kalangan penjawat awam," katanya. - BERNAMA