Dengan kecanggihan alat telekomunikasi perbuatan segelintir wakil rakyat yang suka bertengkar, bergaduh dan melakukan provokasi di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikongsi di media sosial dan disaksikan oleh jutaan rakyat dengan mudah.


Bagi perwakilan Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017, Amalina Annuar, 22, perdebatan berfakta, profesional dan tidak beremosi menjadi pilihan terbaik dalam menyampaikan hasrat rakyat di dewan yang mulia.


Pelajar Universiti Malaysia Sarawak itu berkata, antara wakil rakyat yang dikagumi ketika berbahas adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan.


“Saya pernah melihat perbahasannya yang menjawab soalan daripada pihak prmbangkang dalam keadaan yang sangat tenang, tidak beremosi serta sangat profesional.


“Dia menjadi penanda aras untuk saya berbahas di Parlimen supaya tidak beremosi, tidak meninggikan suara dan menggunakan bahasa mudah agar hujah yang saya mahu sampaikan itu difahami,” kata Amelina.


Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 akan berlangsung pada 18 hingga 20 Julai ini di Dewan Rakyat.


Seramai 210 mahasiswa dari 20 Institut Pengajian Tinggi Awam dan lima Institut Pengajian Tinggi Swasta terpilih untuk menyertai persidangan edisi ke-3 sejak diperkenalkan pada 2015.


WAN MAHASSAN WAN ZAIN
Wan Mahassan Wan Zain

Seorang lagi pelajar, Wan Mahassan Wan Zain, 23, berkata, melalui program tersebut pandangan bahawa tugas sebagai wakil rakyat adalah mudah sebenarnya tidak tepat.


“Satu tugas yang dianggap senang tetapi di belakang tadbir sebenarnya satu tanggungjawab yang sukar kerana tugas mereka adalah membawa suara rakyat kepada Parlimen dan DUN untuk dibahas dan dilaksanakan.


“Saya merasakan aura beratnya tugasan itu dan ia bukan sesuatu yang mudah. Setiap isu, soalan dan fakta harus dijawab. Memerlukan keterperincian dan ketepatan maklumat,” kata Wan Mahasan.


Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara itu menjadikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai idola dan contoh ketika berbahas nanti.


“Saya kagum dengan penguasaan bahasa Melayu beliau. Laras bahasa Melayu yang diguna adalah indah dan tertib. Sopan dan tidak kasar serta mudah untuk difahami,” kata Wan Mahasan.


Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.-UTUSAN ONLINE