Dalam majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi, sebanyak 24 anugerah mengikut pelbagai kategori disampaikan kepada para penerima berdasarkan kecemerlangan prestasi mereka.

Sempena majjis itu juga Mohd. Sabri turut menerima anugerah Tokoh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan komitmennya yang berterusan selaku Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman dan SMK Tengku Bariah.

Yang turut hadir, bekas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pegawai Penyelaras DUN Batu Buruk, Zamri Awang Hitam dan Pegawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Salleh Othman.

Dalam ucapannya, Mohd Sabri menyanjung warga pendidik yang berusaha gigih mendepani cabaran dalam membangunkan anak bangsa dan memajukan negeri melalui teras pendidikan.

Katanya, ini selari dengan aspirasi kerajaan Barisan Nasional (BN), para pemimpinnya di semua peringkat dalam membela nasib rakyat, dan ini akan lebih berkesan melalui pemilihan wakil-wakil rakyat yang dapat memberi tumpuan sepenuh masa dalam kawasan yang dilakukan.

“Kita hanya minta penduduk Kuala Terengganu termasuk di DUN Ladang menilai semula wakil rakyat yang layak mereka pilih bagi meneruskan mandat mewailik mereka, menjaga kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka, bukannya wakil rakyat seperti biskut `Chipsmore.’

“Pemimpin seperti itu bersikap tidak amanah kerana sering meninggalkan kawasan sedangkan mereka dipilih supaya sentiasa bersedia berkhidmat dan turun padang menemui rakyat pada bila-bila masa,” ujarnya.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi DUN Ladang berkata, kegagalan berada di kawasan sepenuh masa itu juga menyebabkan rakyat kehilangan tempat untuk merujuk dan menyelesaikan isu setempat. - UTUSAN ONLINE