Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sistem yang dikenali sebagai B-Tag & Track itu telah dipasang di hospital berkenaan melalui projek perintis, hasil kerjasama pihaknya dengan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, sistem yang di­bangunkan oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) itu boleh memantau kedudukan bayi di wad bersalin, selain berupaya melakukan pengesanan sepadan antara ibu dengan anak secara automatik.

“Sebelum ini, ibu dan bayi perlu memakai tanda nama. Melalui sistem ini, mereka hanya perlu memakai peranti khas di tangan ibu dan kaki bayi.

“Dengan adanya peranti ini, ia akan meningkatkan tahap ke­selamatan ibu dan bayi sepanjang mereka berada di hospital. Saya yakin dengan penggunaan peranti ini, ia dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan di hospital kerajaan, khususnya melibatkan kelahiran bayi,” kata­nya.

Beliau berkata demikian sele­pas menyempurnakan Majlis Pe­nyerahan Sistem B-Tag & Track kepada Hospital Banting di pejabat Angkasa di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Setiausaha kementerian, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr. Murniati Hasan; Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad dan Pengarah Hospital Banting, Dr. Sabrina Che Ab. Rahman.

Sementara itu Noordin memberitahu, sistem B-Tag & Track yang dipasang pada ibu, bayi dan katil bayi itu menggunakan identifikasi frekuensi radio (RFID) dan tidak memberi sebarang kesan sampingan kepada bayi.

“Sistem ini dapat mengelak kes tertukar bayi kerana peranti itu secara automatik mengesahkan padanan ibu dan bayi. Apabila peranti didekatkan antara ibu de­ngan bayi sepadan, ia menge­luarkan lampu berwarna hijau dan jika tidak sepadan, ia mengeluarkan lampu berwarna merah.

“Semua amaran untuk perge­rakan bayi tanpa kebenaran atau usaha menanggalkan peranti itu pula akan dapat dikesan oleh jururawat melalui bunyi siren atau notifikasi secara e-mel,” ujarnya.