Justeru, Perdana Menteri mahu mengajak rakyat bersama-sama membanterasnya sama ada melalui media sosial atau pemimpin-pemimpin tertentu yang bertujuan menjatuhkan negara.

“Serangan minda dan hati menerusi penyebaran berita palsu serta fitnah adalah lebih berbahaya dan ia dilakukan pihak yang mempunyai agenda politik sendiri termasuk menjatuhkan kerajaan dipilih secara demokrasi.

“Asas seorang rakyat adalah sebuah negara, maka adalah wajib kita bersama-sama mempertahankan tanah air daripada serangan seumpama ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Negaraku: Komuniti 1Malaysia di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Menurut Najib, mengetahui asas sebagai seorang warganegara Malaysia yang hidup dalam keadaan aman adalah lebih bermakna.

“Jika kita tiada negara, mungkin nasib kita sama seperti etnik Rohingya di Myanmar yang tiada taraf kerakyatan...apa sudah jadi kepada mereka? Saya tidak payah ulas kerana saban hari di kaca tele­visyen sering dipaparkan nyawa mereka ibarat di hujung tanduk.

“Malah, berlaku perdebatan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sama ada dalam kalangan orang Mexico, Latin, Eropah dan Asia yang hidup tidak tenteram. Bimbang diusir keluar kerana dianggap sebagai pendatang,” jelasnya.

Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan pelbagai agenda menjaga kebajikan rakyat dilaksanakan namun disebabkan penyebaran maklumat palsu perkara baik bertukar sebaliknya sehingga mencetuskan kontroversi.

“Kita lakukan macam-macam kepada rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ada bekas pemimpin kata ia dedak, lepas itu kata rasuah dan kata kalau menang pilihan raya akan teruskan. Selepas itu dia pusing balik kata rasuah, dalam masa tiga bulan bertukar-tukar kenya­taannya.

‘‘Bila kita tidak konsisten dan niat tidak betul, maka orang nampak tembelang, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini juga sebut bila kain dah rabak dan koyak, jangan jaga tepi kain orang,” jelasnya.

Najib turut menegaskan bahawa matlamat BR1M bukan seperti digembar-gemburkan kerana tujuannya adalah membantu meringankan beban rakyat.

“Soal nak undi Barisan Nasio­nal (BN) hak masing-masing. Kita tidak boleh paksa. Pemberiannya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan bukan pengundi BN sahaja,” jelasnya.