Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 12,025 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan berlaku sehingga Oktober lalu.

Beliau yang juga Penaung Program Permata Negara (Permata) memberitahu, jumlah itu dipercayai hanya melibatkan sebilangan kecil kerana keba­nyakan ibu bapa mangsa enggan membuat laporan polis kerana mahu menjaga nama baik keluarga.

Menurut Rosmah, lebih me­me­ranjatkan apabila baru-baru ini pelaku pedofilia warga Britain dilaporkan telah melakukan penderaan seksual terhadap 200 kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun di negara ini.

“Pada Januari lalu, saya mendengar taklimat daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berkaitan Jenayah Seksual Kanak-kanak, Datuk Seri Azalina Othman Said dan cukup terkejut apabila semakin hari jumlah kanak-kanak menjadi mangsa jenayah seksual semakin tinggi.

“Lantaran itu, saya berasa terpanggil untuk menyedarkan masyarakat terutama ibu bapa dan golongan dewasa betapa seriusnya perkara ini sekiranya tidak dibendung dari sekarang. Bak kata orang, jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah. Ja­nganlah sampai kita hanya akan sedar apabila jenayah ini terjadi terhadap ahli keluarga kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!! yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Rosmah yang juga penaung seminar tersebut turut menyatakan penghargaan kepada bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri dan 17 wakil dari negara tersebut kerana hadir memberi sokongan terhadap seminar tersebut sekali gus membuktikan Malaysia dan Indonesia sentiasa mengambil berat me­ngenai isu jenayah seksual kanak-kanak.

Beliau memberitahu, beberapa penceramah dari luar negara turut dijemput antaranya dari United Kingdom (UK), India dan Australia bagi berkongsi inisiatif serta pengalaman masing-masing tentang kaedah bagi memerangi jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Sebagai seorang ibu, adalah menjadi harapan saya agar seminar ini menjadi langkah permulaan dalam usaha kita bersama membasmi, menanga­ni dan menghentikan jenayah seksual terhadap kanak-kanak kerana golongan ini adalah aset negara yang paling bernilai untuk memastikan kesinambungan pembangunan pada masa akan datang.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk setiap pihak melihat secara serius isu ini dan memastikan keselamatan kanak-kanak di negara ini sentiasa terjamin,” katanya.